- feed:
- follow:
- bio:Thinking about business
- location:Malaysia
- updates:111
- followers:44
- following:37
Assalammualaikum..
Sudah lebih dari seminggu umat Islam menunaikan ibadah puasa di dalam bulan Ramadahan ini. Cepat masa berlalu. Kata Imam Al Ghazali perkara yang paling jauh untuk dicapai oleh manusia adalah masa yang lalu. Alangkah ruginya seseorang itu apabila masa yang digunakan untuk perkara yang sia-sia. Perkara-perkara yang haram lagi menyesatkan. Alangkah untungnya seseorang itu pada bulan yang berkat dan penuh rahmat ini, diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat dan berfaedah.
Syukur alhamdulillah kepada mereka yang dapat menunaikan ibadah tarawikh tanpa henti, sihat dan sebagainya buat setakat ini. Kepada mereka yang masih belum menunaikan solat sunat tarawikh, mari kita bersama-sama menunaikannya sementara masih belum terlambat.
Minggu lepas pada hari Ahad yang lalu, saya dapat mengikuti tazkirah selepas solat Subuh daripada Tuan Guru Nik Aziz di Masjid Greenwood, Gombak. Antara pesanan yang disampaikan oleh TGNA seperti:-
1. Amalan-amalan yang biasanya dibuat pada bulan Ramadhan seperti Qiyamulail, membaca al-quran, solat sunat & sebagainya, perlulah dijadikan amalan sehari-hari bukanlah satu upacara. Bahkan bulan-bulan lain juga boleh dilakukan seperti biasa tanpa menunggu untuk dilakukan pada bulan Ramadhan.
2. Biasanya umat Islam terutamanya di Malaysia ini selau menyebut bulan puasa bukannya bulan Ramadhan. Seelok-eloknya gunakanlah perkataan Ramadhan menggantikan bulan puasa dan itulah sebaik-baiknya.
3. Elakkan diri daripada terlibat dengan perkara-perkara yang haram yakni, makanan, pakaian, minuman, dan orang-orang lalai dan lupa kepada Allah s.w.t.
4. Berjemaah di masjid seawal-awal waktu supaya dapat berada di saf hadapan sekali kerana akan dikurniakan pahala berlipat ganda.
Pesanan Untuk Muslimah
Bulan kebaikan bulan ramadhan. Bulan tiada banyak dugaan dari syaitan. Sebab ianya terkurung sepanjang Ramadhan. Sepatutnya masa inilah kita dapat menjadikan satu medan perjuangan untuk melakukan apa yang tidak dapat dilakukan sebelum ini. Contohnya seorang wanita ingin menutup aurat dengan sepenuhnya tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana godaan syaitan dan nafsu pada bulan biasa.
Maka pada waktu inilah masa yang sesuai untuk berubah kepada yang lebih baik. Jadi makhluk syaitan ini tidak dapat manghasut, menggoda, atau melalaikan anda supaya mendedahkan aurat. Dengan itu tiada alasan sepatutnya diberi dalam berubah kearah yang lebih baik. Sekiranya mereka ini tetap ada alasan yang lain, pada hakikatnya mereka tidak mahu berubah langsung atau tidak mempedulikannya.
Pesanan Untuk Muslimin
Merokok. Boleh bertahan sehingga ke waktu berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa gagal. Yang gagal tu nauzubillah. Sekiranya anda boleh menahan diri daripada merokok selama 12 jam lebih, maka dengan sesungguhnya pada masa inilah anda boleh berhenti merokok secara terus menerus. Maksudnya dengan berpuasa sahaja anda tidak merokok sepanjang hari, masakan tidak boleh berhenti. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Menyentuh mengenai bab pakaian pula, kebetulan pada hari yang sama, saya solat maghrib di salah sebuah kompleks terbesar di KL, dan kelihatan seorang lelaki bersama-sama solat ditempat yang sama. Pada pakaian beliau ini, tertulis perkataan "Heineken" yakni salah satu jenama alkhohol yang terkenal. Dengan selambanya beliau solat maghrib dan sempat juga solat sunat. Inilah yang dikatakan pakaian yang haram dipakai mahupun untuk kegunaan biasa. Manusia sudah tidak ambil peduli tentang halal dan haram.
Kebetulan pada hari yang lain pula, kompleks yang sama, sebuah restoren yang menjual dan menghidang arak, membuat promosi "Bufet Ramadhan" untuk orang-orang Islam berbuka puasa di sana. Peliknya ada juga manusia yang bernama Islam ini turut terlibat dan juga berbuka puasa di restoren tersebut. Memang betul mereka mungkin tidak meminum arak tapi ada unsur-unsur syubhah kerana bersekongkol dengan pemilik restoren itu dan secara tidak langsung menyumbang ke arah ekonomi yang haram. Rasanya banyak lagi tempat yang umat Islam boleh berbuka puasa tanpa terlibat dengan perkara-perkara yang haram. Adakah umat Islam sudah tiada sensitiviti keagamaan? Kalau anda terlibat dengan perkara seumpama ini, maka tinggalkanlah. Jangan diulangi.
Kata Imam Al Ghazaly perkara yang paling besar ialah nafsu. Sekiranya syaitan tiada di bulan Ramadhan tapi nafsu masih ada dan mengambil tempat dalam menyuruh ke lembah kejahatan dan maksiat. Sama-samalah kita jauhinya.
P/s 1: Kepada muslimah-muslimah diluar sana hendaklah menjaga dan menutup aurat anda dengan sebaik-baiknya supaya orang lain tidak terlibat dengan dosa-dosa anda.
2. Sebarang promosi iklan tidak dibenarkan melalui ruangan ini.
3. Sila beri komen atau pendapat dengan penuh berilmiah.