Laman Nurani Umum Berbeza Pendapat Tidak Sinonim Dengan Bermusuh

Berbeza Pendapat Tidak Sinonim Dengan Bermusuh

Setuju Tidak Setuju

Sesuatu yang mungkin sukar untuk dipercayai sesiapa, artikel saya bertajuk SEKSUALITI MERDEKA: KESONGSANGAN SEKSUALITI DAN KESONGSANGAN KEFAHAMAN ditulis pada pagi Selasa 8 November 2011, sebagai sesuatu yang ‘fresh’ daripada sesi berfikir saya di Dhuha tersebut.

Semasa balik ke kampung, saya berbual dengan ramai pihak, juga menelusi laporan-laporan akhbar di Malaysiakini, Harakahdaily dan lain-lain, serta memerhati perkembangan News Feed di Facebook. Rangkuman semua itu, bersama sesi-sesi sebelum ini termasuk perbualan kasual saya bersama Menteri Pembangunan Wanita dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, usai membentangkan sebuah kertas kerja di seminar anjuran mereka, saya merumuskan konflik kefahaman yang berlaku di kalangan agamawan.

AGAMAWAN DAN ILMUWAN

Saya juga sedar semasa menggunakan istilah AGAMAWAN, saya merujuk kepada semua pihak yang memperkatakan hal seksualiti songsang dan kempen Seksualiti Merdeka bertemakan agama. Agamawan itu mungkin siak masjid, budak usrah, pemimpin pelajar, golongan profesional berjiwa Islam, juga ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah. Saya tidak menggunakan istilah ILMUWAN secara sedar, kerana kritikan saya bertumpukan bukan kepada alim ulama, sebaliknya kepada semua yang membicarakan hal ini daripada perspektif agama.

Subhanallah.

Sama sekali saya tidak menyangka tulisan saya membentuk satu penghujahan yang kelihatan sebagai ‘respond’ kepada artikel yang ditulis oleh al-Fadhil Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, sahabat yang saya kasihi lagi hormati. Saya tidak membaca artikel beliau atau mana-mana artikel asatizah yang lain berkenaan isu LGBT dan Seksualiti Merdeka ini, dan tulisan saya bukan merupakan kritikan bersifat peribadi kepada peribadi.

Ia adalah satu kebetulan yang menyakitkan.

Lebih menyakitkan apabila, penulis versus penulis tenang sahaja. ‘Pengikut’ yang berapi-api menyalakan api.

BERBEZA SINONIM BERMUSUH?

Di suatu ketika dahulu, ada yang bertanya kepada saya, macam mana boleh saya tidak bergaduh dengan Sheikh Afifi al-Akiti ketika kami sama-sama di Belfast, sedangkan saya dan beliau mendukung metodologi yang berbeza. Penanya tidak berpuas hati kerana kami yang berbeza ini tidak bergaduh.

Pernah juga, saya dipersoalkan bagaimana boleh bersahabat dengan al-Fadhil Ustaz Maszlee Malik, sedangkan saya mendukung pendapat yang berbeza dengan beliau dalam isu Ummah Centric versus Jamaah Centric.

Berkali-kali saya dipersoalkan, bagaimana boleh saya berkawan dengan al-Fadhil Dr. MAZA, ketika mana banyak pendapat  saya dan beliau yang bertentangan, terutamanya ketika beliau masih bertugas sebagai Mufti di Perlis.

Kehairanan itu, seolah-olah mensinonimkan perbezaan pendapat dengan pergaduhan. Kalau berbeza sahaja pendapat, mesti kena bergaduh.

Saya tidak akan bergaduh dengan sesiapa yang berbeza pendapat dengan saya. Ia sangat jauh daripada ajaran agama saya. Agama saya mengajar, selagi mana kerja kita adalah pada menegakkan agama, maka jangan sekali-kali bergaduh dan berpecah belah.

Bukankah Allah Subhanahu wa Ta’aala telah berpesan:

“… bahawa hendaklah kamu menegakkan agama dan jangan pula kamu berpecah belah dalam urusan tersebut…” [Al-Syoora 42: 13]

Musuh kita, hanya yang memusuhi keadilan, mengharuskan kezaliman, dan memperjuangan Syirik dan Bid’ah.

BERLAPANG DADA ANTARA FAKTA DAN AKHLAQ

Mungkin rasional ini menjadi kabur kerana cara saya berbahasa dianggap kasar dan perlu lebih dilunakkan. Saya menerimanya sebagai ruang penambah baikan diri.

Ada pun bagi pembaca yang berpindah dari satu blog ke satu blog, menziarahi seorang ustaz kepada ustaz yang lain, kita juga perlu belajar untuk mengadabkan diri.

Di sepanjang usia 13 tahun blog ini ‘bernafas’, saya dari semasa ke semasa diminta agar lebih terbuka menerima perbezaan pendapat, ketika mana perbezaan yang dirujuk itu adalah perbezaan akhlaq. Masyarakat telah menerima idea bahawa berlapang dada itu baik, tetapi sering keliru antara terbuka kepada perbezaan pendapat, dengan perbezaan akhlaq.

Kita boleh berbeza pendapat.

Tetapi kita tidak boleh berbeza akhlaq.

Apakah beza antara perbezaan pendapat dengan perbezaan akhlaq?

Seorang penulis melihat isu Seksualiti Merdeka daripada perspektif topik Hak Asasi Manusia.

Seorang penulis lagi melihat isu Seksualiti Merdeka daripada perspektif Sadd al-Dzaraa’ie.

Perbezaan pendapat ini boleh dikekalkan, dan berlapang dada menjadi akhlaq terpuji untuk mendamaikan antara dua pendapat yang boleh kelihatannya sangat bertentangan.

Namun perhatikan komen ini:

Alhamdulillah…kebenaran itu memang pahit untuk ditelan.Walaupun komen saya tidak disiarkan (saya pun tak tahu ntah mengapa, adakah saranan saya salah),tapi di akhirat nanti ia akan ditanya. Mengapa pandangan seorang kerdil seperti saya diblock? Adakah mengajak umat Islam dan agamawan membantu LGBT salah? Bukankah lebih baik kita berbincang walau berbeza pandangan? Rupanya sesetengah agamawan pantang dikritik dan tak tahan ujian.Berfikiran satu hala dan gemarkan glamour. Buktikan saya salah dengan melepaskan komen ini.

Berani sikit ok? Macam mana nak jumpa dengan LGBT ni jelaskan keindahan Islam kalau dengan saya tak lepas?

^-^

Komen yang saya terima ini, bukan mengandungi perbezaan pendapat. Tetapi apa yang dibawa adalah kecelaan lisan. Pendapat beliau hakikatnya sama dengan pendapat saya iaitu golongan LGBT mesti didekati, difahami dan dibantu. Namun saya digelar sebagai ustaz blogger, hanya mengadap komputer dan tidak turun bertemu mad’u, gila glamour, pantang dikritik, tak tahan diuji dan sebagainya.

Komen beliau tersekat, kerana semasa komen-komen tentang isu Seksualiti Merdeka dihantar, perkataan Gay, Lesbian, Seks, yang berulang-ulang menyebabkan Sistem Anti Spam AKISMET yang diguna pakai di blog ini dan kebanyakan blog lain akan menyekatnya. Saya perlu masuk ke ruangan komen SPAM untuk memerhati di celah-celah ribuan komen spam, ada komen yang wajar disiarkan, tetapi tersangkut akibat sistem penapisan berkenaan.

Tetapi saya disarankan oleh ramai pengunjung blog supaya berlapang dada menerima komen pengunjung itu tadi kerana ia adalah perbezaan pendapat. Dan saya sebagai pendakwah, mesti berfikiran terbuka untuk menerimanya. Kritikan saya kepada cara beliau berakhlaq difahami sebagai saya tidak berlapang dada.

Sebagaimana fakta juga ada garis panduannya, demikian juga akhlaq.

Akhlaq tidak relatif dan terbuka tanpa panduan.

Membawa akhlaq yang bertentangan tidak sama dengan membawa pendapat yang bertentangan.

Kecelaan akhlaq mesti ditegur. Mesti diperbetulkan. Untuk menyatakan pendapat yang berbeza, kita tidak perlu menjadi kurang ajar, menggunakan perkataan yang kasar, apatah lagi mempersoalkan isi hati orang lain ketika mana kita bukan Tuhan yang boleh menyingkap apa yang ada di sebalik tulisan dan percakapan seseorang. Kita sewajarnya hanya menghukum pada apa yang zahir, kemudian bertaqwa kepada Allah untuk menguruskan apa-apa yang tersembunyi.

Di akhir penulisan ini, saya dengan rendah hati memohon kemaafan daripada sahabat saya al-Fadhil Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman atas penulisan saya yang tidak mencapai piawaian ukhuwwah dan hikmah sesama asatizah.

Cuma saya mengekalkan fakta-fakta perbahasan kerana ia valid untuk dipertimbangkan.

Matlamat kita hanya satu, berlaku adil kepada kawan dan lawan, mengusahakan Islam terus mampu dipegang sebagai solusi kepada semua permasalahan, termasuk kesongsangan seksualiti yang semakin membarah dewasa ini.

Semoga Allah mengampunkan khilaf saya dan kita semua, ameen.

Tags:     bermusuh      bergaduh      LGBT      Akismet      SPAM      Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman      agamawan      riba      IRA      iman      tuhan      ilmu      lawa      pesan      rap      bertaqwa      hikmah      dakwah      songs      malaysia      syirik      arak      masjid      respon      islam      manusia      Blog      maza      fikir      kertas      akhirat      ulama      bertaqwa kepada Allah      cela      minta      Lesbian      baik      Hukum      DAP      ALLAH      umat ISLAM      Blogger      sahabat      indah      Wanita      keindahan      Sifat Peribadi      Dr. MAZA      zalim      peribadi      ISA      Taqwa      Keadilan      PAS      Gay      maaf      fb      aman      ujian      garis panduan      lima      hati      facebook      Seksualiti Merdeka      ima      usa      khilaf      Malaysiakini      berbeza pendapat      ikan      tangan      sua
Latest Articles

Add comment

1. Sebarang penggunaan kata-kata kesat adalah dilarang sama sekali.
2. Sebarang promosi iklan tidak dibenarkan melalui ruangan ini.
3. Sila beri komen atau pendapat dengan penuh berilmiah.


Security code
Refresh

Penafian: Pihak YOP tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana maklumat dalam laman web ini. Paparan terbaik menggunakan Internet Explorer 8.0 atau Mozilla Firefox 3.0 atau Safari dengan resolusi 1024 x 768

Page Rank Check Increase your website traffic with Attracta.com