Menyanggah memoir Mahathir II
Apabila saya semak kembali ruangan indeks dalam memoir Dr Mahathir Mohamad, A Doctor in the House, bekas Perdana Menteri itu memang ada mencatatkan Peristiwa Memali pada halaman 7, bab pertama.
Sesudah saya menatap bagaimana pembaca cuba dikelirukan dengan beberapa peristiwa penting semasa 22 tahun pemerintahannya, seperti kes pengharaman Umno, cabaran Tengku Razaleigh Hamzah, kebebasan kehakiman, Operasi Lalang 1987 dan pemecatan Tun Salleh Abas bersama dua Hakim Mahkamah Agong, baru saya terkesan bahawa Dr Mahathir mahu menyamakan tragedi berdarah itu di dengan kes-kes seperti pencerobohan kuil Hindu di Kerling, Selangor pada 26 Mei 1979 dan serangan ke atas balai polis di Batu Pahat, Johor pada 16 Oktober 1980.
Memali, bagi Dr Mahathir, dilihat tidak lebih daripada satu lagi fenomena "ajaran songsang" dan ini amat dikesali. Asyahid Ibrahim Libya dan anak-anak muridnya tidak pernah melakukan serangan kepada pihak lain, malahan mereka yang berlindung di rumahnya diceroboh dengan ketumbukan bersenjata berat sehingga mengakibatkan 14 penduduk kampung terkorban.
Selain itu, kritikan Dr Mahathir mengenai perjumpaannya dengan bekas Presiden Singapura, Benjamin Henry Sheares dan sambutan dingin bekas Perdana Menteri republik itu, Lee Kuan Yew dalam lawatan pertamanya, disanggah wartawan The Straits Times. Akhbar Nanyang Siang Pau, 12 Mac, yang merujuk pertemuan dengan kedua-dua negarawan Singapura itu menyifatkan ingatan Dr Mahathir "lebih teruk".
"Beliau tidak dapat lagi melawan usia yang semakin tua. Kesahihan daya ingatan beliau mengenai peristiwa silam boleh dipertikaikan dan perlu dikaji selidik untuk mencari kebenarannya. Sebab itu, ungkapan 'sejarah saya' yang disebut Tun Mahathir sebenarnya hanya bertujuan menyedapkan telinga orang ramai sahaja," petikan penulis Nanyang, Huang Zi.
Justeru, sukar dipastikan kesahihan beberapa kritikan Dr Mahathir terhadap perwatakan pemimpin-pemimpin lain, seperti Tun Hussein Onn, Perdana Menteri sebelumnya.
Dakwaan Dr Mahathir mengenai pemecatan Tun Salleh Abas, cukup menyimpang daripada hakikat sebenar. Beliau beria-ia mahu menafikan krisis kehakiman 1988 berpunca daripada masalah yang dihadapinya bagi mengekalkan kuasa sebagai Presiden Umno, sekali gus Perdana Menteri. Dr Mahathir meletakkan bebanan itu kepada Yang di-Pertuan Agong.
Walaupun menyedari Tun Salleh mengkritiknya dalam beberapa ucapan, Dr Mahathir menegaskan, beliau tidak mengambil apa-apa tindakan, jauh sekali untuk menyingkir Tun Salleh. Dia hanya bertindak apabila Agong menyatakan rasa tidak puas hati berkenaan "dua surat tersebut", iaitu berkaitan rungutan Tun Salleh mengenai bunyi bising proses baikpulih kediaman Agong (?) dan aduan berkenaan tuduhan Perdana Menteri terhadap badan kehakiman.
Seperti saya jelaskan sebelum ini, adalah menyalahi Perlembagaan apabila yang memulakan tindakan untuk memecat Tun Salleh ialah Agong dan bukannya PM. Motif jahat Dr Mahathir lebih ketara jika dilihat komposisi tribunal. Dia terpaksa meletakkan orang yang paling dipercayainya, iaitu Abdul Hamid Omar, Hakim Besar Malaya, yang turut terlibat bersama 20 hakim menghantar surat yang dikatakan menimbulkan kemurkaan Agong.
Dr Mahathir tentu sedar bahawa Abd Hamid bukan saja terlibat dengan surat itu, malahan beliau yang merupakan hakim kedua terkanan akan menjadi Ketua Hakim Negara yang baru jika Tun Salleh didapati bersalah oleh tribunal yang dipengerusikannya. Dilihat usia Abd Hamid yang lebih tua, beliau tidak akan menduduki kerusi no. 1 kehakiman sekiranya Tun Salleh menamatkan khidmat sehingga pencen pada umur 65 tahun.
Tun Salleh berusia lima bulan lebih muda berbanding Abd Hamid. Tarikh lahir Abd Hamid ialah 25 Mac 1925, manakala Tun Salleh, 25 Ogos 1929. Kedua-duanya dilantik Hakim Besar dan Ketua Hakim Negara, masing-masing pada 3 Feb 1984. Jelas, Abd Hamid merupakan orang berkepentingan dan mendapat manfaat jika Tun Salleh dilucutkan. Abd Hamid bukan sahaja tidak layak menjadi pengerusi tribunal malah tidak layak menjadi ahli.
Sepatutnya Tun Salleh diadili oleh mereka yang setaraf dengannya, misalnya dua bekas Ketua Hakim iaitu Tun Mohamad Azmi dan Tun Mohamad Suffian. Selain itu, Dr Mahathir juga memilih ahli tribunal yang dipersoalkan kewibawaannya, iaitu peguam Abd Aziz Zain (peguam pula yang mengadili hakim!) dan Speaker Dewan Rakyat, Tun Mohd Zahir Ismail (Dr Mahathir yang melantiknya sebagai Speaker).
Seorang lagi anggota tribunal ialah Hakim Mahkamah Tinggi Singapura, TS Sinathurai, yang dikenali paling memihak kepada kerajaan Singapura dan disyaki dipergunakan Lee Kuan Yew untuk mencari kesalahan musuh-musuh politiknya.
Beberapa perkembangan yang menakjubkan dalam proses tribunal itu, sehingga menyebabkan lima Hakim Mahkamah Agung digantung dan seterusnya dua daripadanya dipecat, menunjukkan bagaimana terdesaknya Dr Mahathir untuk melakukan apa saja untuk menyingkirkan Tun Salleh. Sukar dibayangkan apabila pendaftar-pendaftar mahkamah diarah balik awal supaya tidak ada kakitangan mahkamah untuk memetrai perintah Mahkamah Agung dalam permohonan Tun Salleh untuk mendapatkan perintah larangan sementara kepada tribunal. Dan cop mohor Mahkamah Agung turut disembunyikan!
Jika Dr Mahathir hanya menurut kehendak Agong (dan ini bercanggah dengan Perlembagaan), masakan beliau bersungguh-sungguh melakukan komplot yang luar biasa dahsyatnya!
Sila rujuk buku "Islam, Kehakiman dan Kediktatoran - Kes Tun Salleh Abas"; Penerbitan Pemuda 1989.
Begitu juga dengan dakwaan karut Dr Mahathir bahawa Operasi Lalang, Oktober 1987 yang membabitkan penahanan borong lebih 100 aktivis, dikendalikan sepenuhnya oleh pihak polis, dan bukannya atas kehendak eksekutif.
Saya masih ingat waktu itu, bulan Oktober 1987 dirasakan cukup membahang dengan isu perkauman yang sengaja dibiarkan terbakar. Ramai teman-teman wartawan hairan mengapa persoalan perkauman boleh dibahaskan secara cukup terbuka, termasuk oleh para menteri dan timbalan menteri. Lebih pelik apabila Perdana Menteri Dr Mahathir bukan saja berdiam diri, malah bertindak keluar negara pula? Ketika itu, kes rayuan Umno 11 hangat diperkatakan.
4 Oktober, 5 resolusi diluluskan di Dewan Perhimpuna Cina membantah perlantikan 14 guru besar dan penolong kanan yang tidak mahir berbahasa Mandarin. Timbalan Presiden MCA, Lee Kim Sai paling lantang bersuara. 11 Oktober, di kuil Thean Hou, Jalan Kelang Lama, perhimpunan lebih besar membabitkan tokoh-tokoh MCA, DAP dan NGO Cina, juga atas isu sama. Esoknya, di Dewan Rakyat, pertikaman lidah berlaku antara wakil Umno, MCA dan DAP. Speaker bermurah hati membenarkan perbahasan.
Lebih panas, 17 Oktober, di Stadium Jalan Raja Muda, ucapan perkauman, seperti "Basah ia (keris) dengan darah Cina" berkumandang. Kedai-kedai Cina berdekatan ditutup. Ia persiapan menyambut perhimpunan setengah juta pada 1 Nov, yang diusahakan Sanusi Junid, Setiausaha Agung Umno. Pendek kata, ketegangan sengaja dicipta bagi mewajarkan penahanan ISA, sebagai laluan buat Dr Mahathir memperkukuhkan kedudukannya yang begitu goncang berdepan cabaran musuh-musuh politiknya.
Dia turut meminda ISA secara gopoh-gapah, yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 13 Julai 1988, segera dibawa ke Dewan Negara esoknya untuk diluluskan dengan mudah dan diperkenankan Agong pada hari berikutnya 15 Julai. Ia semata-mata dibuat bagi memastikan penahanan Lim Kit Siang tidak dibatalkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Dzaiddin Abdullah.
Bayangkan ironinya, Kit Siang membawa kesnya ke mahkamah atas ISA yang belum dipinda tetapi perbicaraan ditangguhkan bagi menunggu pindaan ISA diluluskan, dan kemudiannya Ketua Pembangkang itu dibawa semula ke hadapan hakim dengan undang-undang yang baru! Hakim Dzaiddin mengatakan, jika Kit Siang diadili menurut ISA sebelum pindaan, maka beliau akan dibebaskan daripada Kamunting.
Cukuplah Dr Mahathir, biar sejarah menentukannya, usah cuba ditulis semula ...
